Tuesday, 2 October 2012

(: Ayah :)



    “Ishhhh, sibuk betullah anak orang cacat ni !!”, herdik rakan-rakannya. Inilah rutin harian Hazmi ketika berada di sekolah. Beliau selalu dipinggirkan oleh rakan-rakannya dalam setiap aktiviti yang ingin disertainya. Beliau dipinggirkan hanya kerana Encik Ghazali seorang yang cacat anggota badan. Kakinya telah dipotong kerana menghidap penyakit diabetis setahun lalu.

     Ibu dan kakaknya telah lama meninggalkannya kerana menjadi mangsa kemalangan jalan raya yang melibatkan antara sebuah teksi dan sebuah bas. Kemalangan ngeri ini berlaku ketika dia hendak menghadapi Penilaian Menengah Rendah. Tangan ibunya putus dan kepala kakaknya digilis bas. Kemalangan ini telah memberikan kesan yang mendalam dalam diri Hazmi. Hal ini kerana, kemalangan tersebut berlaku seminggu sebelum beliau menghadapi Penilaian Menengah Rendah. Beliau seakan orang yang hilang pertimbangan akal,  kerana kemalangan tersebut berlaku dalam sekelip mata. Mujurlah rakan-rakan dan para guru banyak memberikan sokongan dan semangat kepada Hazmi untuk menerima kenyataan yang sukar untuk diterima ini. Akhirnya, Hazmi berjaya memperoleh 9A dan seterusnya menjadi pelajar terbaik di sekolah lamanya. Berbekalkan keputusannya itu, beliau berpindah ke Maktab Rendah Sains Mara Muadzam Shah di Pahang. Pembelajarannya ditanggung sepenuhnya oleh ‘Yayasan Biasiswa Al-Fikrie’, Tajaan biasiswa ini telah meringankan kehidupannya dan Encik Ghazali yang hanya merupakan seorang nelayan.

     Kehidupannya di sekolah baru ini tidak seindah di sekolah lamanya, kawan-kawan lamanya tidak lagi bersamanya, ini bermakna dia terpaksa menghadapi liku-liku kehidupan dan cabaran dengan sendiri.

     “Engkau itu anak orang cacat ! Hidup hanya menyusahkan orang lain, ada hati nak berkawan dengan kami ?!”, herdik kawannya. Pernah sekali beliau dipanggil oleh unit Hal Ehwal Pelajar kerana beliau telah menumbuk muka seorang pelajar yang menghina ayahnya. Hazmi pernah mengadu pada ayahnya, namun ayahnya mengatakan, “Hazmi, biarlah apa orang nak kata pada kita, yang penting kita mesti berfikiran positif”, kata-kata ayah itu menjadi penyuntik semangat untuk mengharungi liku-liku kehidupannya. “Ayah, kenapa engkau tidak pernah berputus asa dengan apa yang telah terjadi pada diri engkau ? Bagaimana aku hendak menjadi tabah seperti engkau ?” detik hatinya.

     “Hazmi !!!” , lamunannya terhenti apabila cikgu Zahari memanggilnya. “Awak berangan apa ? Tak nampak ke saya sedang mengajar di hadapan ini ?!”,sifat garang dan ketegasan cikgu Zahari ini amat digeruni di MRSM ini. Jeritannya mampu menembusi segenap inci pintu-pintu dan dinding-dinding kelas hinggakan kelas hujung mampu mendegar jeritannya dengan jelas. “Berani awak berangan semasa saya mengajar ? Keluar! Lari keliling padang sepuluh pusingan ! Sudah selesai baru boleh masuk kelas”.
  
     “Aduh, tak pasal-pasal aku kena lari.”
   
     Hazmi mengeluh. Memang salahnya juga kerana tidak menumpukan perhatian ketika cikgu sedang mengajar dalam kelas. Hazmi pulang ke kelas dengan bajunya yang basah kerana peluh.

     Sejak penyakit yang menimpa ayahnya hingga menyebabkan ayah terlantar di hospital, kehidupan Hazmi berubah. Beliau banyak termenung memikirkan tentang ayahnya yang kini berada di ICU. Akhir-akhir ini ayahnya mengadu kesakitan pada bahagian ususnya. Seminggu yang lepas, ayahnya dikejarkan ke hospital kerana pengsan secara tiba-tiba dan doktor telah mengesahkan bahawa usus ayahnya telah tersumbat, dan pembedahan perlu dilakukan dengan segera bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak baik berlaku. Berkat hasil kutipan derma yang dilakukan oleh kawan baik ayahnya iaitu Pak Samad, RM40 00 telah berjaya dikumpulkan dan proses pembedahan dapat dilakukan seperti biasa. Selepas sahaja proses pembedahan berakhir, ayahnya masih lagi ditempatkan di ICU kerana masih lagi tidak sedarkan diri sehinggalah ke hari ini.

    Tiba-tiba datang seorang pelajar lelaki, menghampirinya seraya berkata, “apalah kau ni Hazmi, dah lah kau anak orang cacat ! Tidur dalam kelas, apalah nak jadi dengan kau ini ?”, Hazmi menerima kutukan tersebut dengan hati yang terluka.
   
     “Hina sangatkah aku jikalau aku ini anak orang cacat ?”
     “Memang hina ! Menyusahkan orang lain sahaja !”

     Salah satu kelemahan Hazmi ialah beliau seorang yang hatinya mudah tersentuh dengan kata-kata orang lain. Sebaik sahaja diherdik, matanya mula bergenang dengan air mata. Tetapi beliau berjaya menahan air matanya daripada gugur ke pipi.

     Sewaktu cuti sekolah. para pelajar diberi peluang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Peluang ini diambil dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains Mara Muadzam Shah. Hazmi juga turut serta pulang ke kampung halaman untuk bertemu dengan ayahnya yang tercinta.

     Setibanya di rumah, beliau terus bersalaman dengan ayahnya sebagai tanda hormat seorang anak terhadap orang tuanya. Jelas terukir senyuman dibibir Encik Ghazali tatkala melihat anak bongsunya pulang ke rumah. Hazmi jarang pulang ke rumah kerana tidak mahu menyusahkan Encik Ghazali.Lebih-lebih lagi,bapanya memahami akan kehendak anaknya itu. Seperti biasa, Hazmi akan membantu Encik Ghazali melakukan kerja-kerja harian seperti memasak, membasuh baju dan sebagainya.

     Keesokan hari, ketika Encik Ghazali sedang menjalin jalanya, Encik Ghazali memanggil Hazmi untuk diajak berbual. Ayah mana yang tidak rindukan anaknya. Hazmi yang sedang leka melihat gambar-gambarnya bersama arwah ibu dan kakaknya itu terus menuju ke arah ayahnya.

     “Apa khabar Hazmi ?”
     “Khabar baik ayah.Ayah sedang menjalin jala ke ?”
     “Aah, jala ini terkoyak semalam sebab tersangkut pada tunggul batu berdekatan dengan jeti itu.”
     “Ayah ada beberapa pesanan untuk Hazmi sebelum ayah pergi meninggalkan kamu"

     Hazmi terkesima dengan kenyataan ayahnya.

     “Apa yang ayah cakap ini ? Jodoh pertemuan dan ajal maut itu urusan Allah.”.
     “Memanglah, tapi kita tak tahu bilakah kita akan pergi untuk menghadap-Nya.”
     “Hmmm, apakah yang ayah ingin sampaikan itu ?”
     “Sebenarnya, ayah berharap sangat Hazmi akan belajar bersungguh-sungguh. Jangan jadi macam ayah, terpaksa bersusah-payah untuk mendapatkan sesuatu yang diingini.Itu pun tidak menentu. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.”,jelas Encik Ghazali.

Hazmi mendengar dengan penuh teliti tanpa meninggalkan walau sepatah pun kata-kata ayahnya.

     “Sebelum Hazmi berkeluarga, ayah harap Hazmi dapat memenuhi ke empat-empat syarat ini.Yang pertama, Hazmi mesti meningkatkan ketakwaan kepada Allah.Yang kedua, Hazmi mesti sudah mempunyai pendapatan yang tetap.Yang ketiga, Hazmi mesti mempunyai gaji minima RM3000, dan yang terakhir ialah Hazmi mesti sudah mempunyai rumah dan kenderaan sendiri.Bolehkah Hazmi menunaikan ke empat-empat syarat ini ?” pinta Encik Ghazali.

     Hazmi terasa bagai suatu beban yang sangat  berat menimpa dirinya. “Baiklah ayah, Hazmi akan cuba.”Setelah tamat sesi perbualan dengan ayahnya, beliau pun masuk ke kamarnya. Beliau terasa sesuatu beban yang sangat berat akan dipikulnya suatu hari nanti.

     Encik Ghazali ingin mengingatkan Hazmi tentang masa depannya dan tidak mahu Hazmi menjadi seperti dirinya. Pada Encik Ghazali, dalam kepayahan yang menimpa dirinya, Encik Ghazali tidak pernah mengalah, walaupun memakai kaki palsu pada kaki kanannya, ini tidak menjadi halangan kepada ayahnya untuk meneruskan hidup demi Hazmi yang tersayang. Padanya, jikalau dia berputus asa, maka anaknya juga akan turut berputus asa dalam meneruskan hidup yang penuh dengan cabaran dan rintangan ini. Oleh sebab itu, Encik Ghazali tidak boleh mengalah dan mesti bangkit untuk terus berjuang biarpun terpaksa berkaki palsu untuk ke mana sahaja Itu bukanlah penghalang pada dirinya dan beliau juga mengaharapkan agar Hazmi juga tidak berputus asa untuk meneruskan hidup.

     Cuti sekolah telah pun tamat. Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia kian menghampiri pelajar-pelajar Maktab Rendah Sains Mara Muadzam Shah. Suasana belajar telah bermula.Setiap pelajar akan mengisi masa senggang mereka dengan membuat ‘study group’ . Inilah rutin bagi pelajar-pelajar yang mengidamkan kejayaan demi masa depan yang cerah. Mereka juga akan mengisi masa lapang mereka seperti ketika ketiadaan guru ketika sesi pembelajaran dan pelajaran sedang berlangsung dengan menyiapkan kerja-kerja rumah atau membuat latih tubi untuk subjek-subjek yang masih lemah dan belum dikuasai. Sedang Hazmi sibuk mengulangkaji pelajaran, tiba-tiba datang cikgu Ayuzah, guru subjek Bahasa Inggeris merangkap guru kelasnya seraya berkata, “Hazmi, anda diminta pergi ke pejabat sekarang juga, kecemasan !”.Sebaik sahaja mendengar pengumuman tersebut, seluruh kelas kecoh. Tanpa membuang masa, Hazmi bergegas menunju ke pejabat yang berhadapan dengan blok akademik.

     Sebaik tiba di pejabat, terdapat satu pesanan penting untuk Hazmi dan pesanan tersebut disampaikan oleh Encik Azman, pengetua Maktab Rendah Sains Mara Muadzam Shah. Tuan pengetua memaut bahu Hazmi lalu berkata, “Hazmi, saya diamanahkan untuk menyampaikan pesanan ini kepada awak.Diharapkan awak dapat menenangkan fikiran awak dan menerimanya dengan hati yang terbuka.”. “Sebentar tadi, pihak sekolah    mendapat panggilan daripada Pak Samad, jiran kamu mengatakan bahawa ayah kamu, Encik Ghazali telah meninggal dunia akibat lemas ketika sedang menangkap ikan.”. Hazmi terkesima sebaik sahaja mendengar kenyataan pengetua. Pembuluh darahnya bagaikan pecah. Matanya sudah dibanjiri dengan lilangan air mata umpama empangan air yang telah pecah. Beliau jatuh terjelepok ke lantai, menangis semahunya. Tuan pengetua hanya memerhatikan gerak-gerinya dan mengerti apakah yang dirasakan oleh Hazmi pada saat itu. Setelah pemergian dua orang insan yang tersayang iaitu ibu dan akaknya, kini ayahnya pula telah pergi meninggalkan dirinya. Beliau merasakan dunia ini tidak adil terhadap dirinya kerana telah mengambil semua insan yang disayanginya meninggalkan dirinya keseorangan. Akan tetapi, kekuatan imannya berjaya menguasai diri, lantas memadam segala sangkaan buruk terhadap takdir yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Benaknya berkata,”ya,inilah yang dikatakan setiap yang hidup pasti akan mati”.

    Hazmi bangkit, mengesat air matanya, lalu bersalaman dengan tuan pengetua sambil mengucapkan terima kasih. Encik Azman memaklumkan kepada Hazmi bahawa sebentar lagi Encik Samad akan menjemputnya pulang ke rumah dan Hazmi dibenarkan untuk pulang ke asrama untuk mengemas barang yang perlu untuk dibawa pulang.

     Hazmi akur dan menuruti segala kata-kata tuan pengetua. Beliau melangkah keluar dari pejabat dengan hati yang sebak atas pemergian ayahnya. Namun beliau reda dengan ketentuan-Nya. Dalam hati beliau merintih, “Ya Allah andainya ujian ini adalah selayaknya untuk aku, maka aku yakin akan ada hikmahnya dan aku akan berusaha untuk mencari hikmah tersebut. Ya Allah, aku redha dengan pemergian insan-insan yang amat aku sayangi ini. Tempatkanlah mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman. Ya Allah, engkaulah yang Maha Penyanyang, aku memohon kepadamu Ya Allah, bimbinglah aku dalam pelbagai cabaran yang akan kuhadapi selepas ini kerana aku sudah tidak mempunyai sesiapa lagi selain daripada-Mu, Ya Allah.”. Amin…


No comments:

Post a Comment

(: flying kiss untuk Cik Lala :)